Apa Soalan Penting Ibu Bapa Penyayang Untuk Anak Pulang Dari Sekolah?

Alam ria persekolahan telah melalui minggu ketiga pembelajaran di bilik darjah. Gambaran keterujaan lebih dirasai bagi ibu bapa yang baru pertama kali menghantar anak mereka ke sekolah. Dalam erti kata lain, anak sulung. Berbeza dengan ibu bapa yang sudah biasa melalui saat persekolahan anak-anak, mereka lebih memberi tumpuan back to school kepada persediaan, kelengkapan dan masa yang diperuntukan untuk urusan persekolahan anak-anak.

Sudut penting yang mungkin masih ramai ibu bapa kurang menyedari beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terhadap alam persekolahan anak-anak. Tanggung jawab ibu bapa menyediakan segala keperluan dan menghantar anak ke sekolah adalah sangat besar ertinya bagi anak-anak. Tanggung jawab tersebut adalah asas bagi setiap ibu bapa yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak.

Sikap cakna ibu bapa terhadap anak-anak dalam urusan persekolahan sedikit terabai apabila tindak balas mereka kurang menyerlah dalam memahami apa yang dilalui anak-anak di sekolah. Ibu bapa penyayang dan prihatin tentu akan selalu bertanya kepada anak-anak paling kurang lima perkara berkaitan persekolahan anak-anak sebaik saja mereka pulang ke rumah.

Ibu Bapa Perlu Tanya Lima Soalan Ini Kepada Anak Setiap Kali Pulang Dari Sekolah

Lima soalan dan perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa kepada anak-anak apabila pulang dari sekolah adalah seperti berikut:

  1. Makan Apa Di Sekolah?
  2. Beli Apa Di Sekolah?
  3. Belajar Apa Di Sekolah Hari Ini?
  4. Guru Bagi Kerja Rumah Atau Tidak?
  5. Ada Apa Dalam Beg Sekolah?

Galakkan Anak Bercerita Dan Berkongsi Pengalaman Baru Di Sekolah

Perkara pertama hingga ke empat merupakan persoalan yang memerlukan perbualan mesra antara ibu bapa dan anak berhubung pengalaman anak di sekolah. Lontarkan satu soalan dan layan setiap celoteh anak yang menceritakan saat baru mereka menduduki alam persekolahan.

Bagi anak-anak yang telah memasuki tahun kedua persekolahan dan seterusnya pastikan mereka juga dapat berkongsi dengan ibu bapa detik bersejarah menduduki kelas baru di sekolah. Seandainya mereka mempunyai adik yang baru memasuki persekolahan, mereka juga akan bersemangat sama untuk bercerita. Layan anak-anak secara adil dan biarkan mereka semua bercerita pengalaman persekolahan masing-masing.

Setelah anak-anak puas bercerita (yang sebenarnya menjawab soalan pertama) walau pun mungkin penceritaan mereka akan lari dari soalan asal (sebenarnya anak-anak ingin terus bercerita hingga mereka puas), biarkan anak-anak terus bercerita sampai habis. Sebolehnya elakkan dari memotong cerita mereka sekerat jalan hanya kerana ibu bapa tidak sabar untuk bertanya soalan seterusnya.

Apabila ibu bapa mendengar celoteh anak-anak bercerita hingga selesai, mereka akan menganggap ibu bapa sangat meraikan mereka dan menghargai pengalaman mereka di sekolah. Kesabaran tinggi perlu ada pada setiap ibu bapa dan lebih menarik lagi jika ibu bapa dapat selitkan unsur jenaka jika perlu mencelah ketika anak sedang asyik bercerita mengikut kesesuaian.

Makan Apa Di Sekolah?

Ibu bapa penyayang akan bertanya kepada anak-anak mengenai pemakanan mereka. Bahkan sesiapa saja yang mempunyai sifat kekeluargaan dan prihatin kepada kanak-kanak akan bertanya kepada murid-murid yang ditemui dengan soalan “kamu makan apa di sekolah hari ini?”.

Soalan ‘makan apa di sekolah?‘ adalah soalan asas yang ringan dan semua orang mampu mengucapkannya dalam bahasa yang paling mudah dan berkesan. Paling tidak, soalan tersebut dapat membuka mood kanak-kanak untuk memulakan perbualan seterusnya menjawab pertanyaan.

Soal pemakanan anak-anak di sekolah bukan perkara yang harus dipandang ringan oleh ibu bapa. Kerana dalam hal pemakanan ini ibu bapa juga perlu memikirkan beberapa kemungkinan yang boleh berlaku kepada anak-anak antaranya seperti berikut:

  • Anak mungkin tidak makan sebab bekal tumpah atau hilang
  • Anak mungkin tidak makan sebab duit hilang
  • Anak mungkin makan tapi pinjam duit kawan

Perkara kemungkinan ini boleh berlaku dan boleh dianggap biasa berlaku terutama bagi anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan dan dalam proses untuk menyesuaikan diri.

Makanan kemungkinan boleh tumpah semasa berebut-rebut untuk keluar rehat atau hilang kerana bentuk botol minuman dan tupperware yang cantik serta menarik perhatian murid-murid lain. Seeloknya sediakan sedikit duit bagi anak-anak sebagai persediaan untuk mereka membeli makanan jika berlaku keadaan ini.

Memberi wang perbelanjaan untuk anak-anak membeli makanan di kantin sekolah dapat memberi mereka pilihan untuk menikmati juadah beraneka jenis. Namun tidak semua ibu bapa mampu memberikan wang saku kepada anak-anak setiap hari persekolahan.

Kehilangan wang juga adalah kemungkinan yang boleh berlaku, begitu juga kemungkinan wang dipinjam oleh rakan-rakan anak. Terdapat juga segelintir anak-anak yang suka belanja kawan makan bersama-sama. Apabila melibatkan wang, semua perkara ini harus diambil perhatian dan sentiasa bertanya kepada anak-anak.

Sesetengah kanak-kanak agak pendiam dan takut untuk menceritakan hal ini kepada ibu bapa. Akibatnya anak tesebut berlapar dan tidak berani mengadu hal sebenar. Maka peranan ibu bapa sangat penting supaya sikap anak-anak untuk berterus terang harus dipupuk dari awal.

Terdapat juga anak-anak yang meminjam duit kawan kerana duit sendiri hilang atau bekalan makanan yang dibawa ke sekolah tumpah dan sebagainya. Sudah tentu terdapat juga kanak-kanak yang mempunyai sifat setia kawan dan sanggup memberikan duitnya kepada rakan yang tidak dapat makan dan minum.

Namun ibu bapa perlu menjelaskan semula hal ini kepada anak, sekiranya anak ada meminjam duit kawan, maka duit tersebut perlu diganti semula. Perkara ini penting untuk ibu bapa jelaskan kepada anak-anak supaya mereka tahu yang mana perkara baik dan mana perkara tidak baik.

Ibu bapa juga amat digalakkan untuk menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak dalam jumlah yang lebih. Tujuannya adalah untuk memupuk anak-anak sifat berkongsi makanan dengan mengajak kawan-kawan makan sama-sama di sekolah.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan sarapan pagi yang baik untuk anak-anak seperti membancuh Gum Arabic Al-Manna ke dalam minuman anak-anak. Ketahui lebih lanjut apa itu Gum Arabic Al-Manna?.

Makan apa di sekolah?

stokis gum arabic, almanna, gum arabic, gum arabic food, gum arabic travel, gum arabic kota bharu, gum arabic kelantan, gum arabic malaysia,

Beli Apa Di Sekolah?

Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah di awal pagi kebiasaannya akan menyuruh anak untuk terus ke bilik darjah. Namun ibu bapa juga perlu tahu apakah anak-anak telah mengambil sarapan pagi di rumah atau sememangnya anak-anak sudah terbiasa tidak menjamah hidangan pagi.

Terdapat anak-anak yang tidak mahu mengambil sarapan pagi dengan alasan tidak mahu buang air apabila sampai ke sekolah. Kebiasaannya kanak-kanak seperti ini sudah terbiasa tidak makan awal pagi. Namun sebagai ibu bapa prihatin, anak-anak perlu juga disuruh menjamah hidangan sebelum ke sekolah walau pun sedikit. Ini bagi membantu anak-anak supaya bertenaga sepanjang sesi pembelajaran.

Anak-anak yang tidak bersarapan pagi di rumah ada kemungkinan mereka akan membeli makanan di kantin sekolah pada waktu pagi sebelum sesi pembelajaran bermula. Wang saku yang diberi ibu bapa mungkin bertujuan untuk digunakan pada waktu rehat. Ini menyebabkan anak-anak telah kehabisan duit semasa membeli makanan di waktu pagi (sebelum masuk kelas).

Oleh itu ibu bapa perlu bertanya kepada anak-anak, “beli apa di sekolah?“. Apakah duit mereka mencukupi? Apakah tiada kejadian lain yang menyebabkan anak-anak ketiadaan duit? Jika ibu bapa tidak bertanya, anak-anak pula jenis pendiam, guru pula tidak tahu, maka keadaan ini akan berlanjutan dan memberi kesan yang tidak baik kepada anak-anak. Beberapa perkara yang mungkin ibu bapa terlepas pandang yang menyebabkan anak-anak kehabisan duit adalah seperti berikut:

  • Anak-anak kehabisan duit semasa membeli di awal pagi (sebelum masuk kelas).
  • Anak-anak kehabisan duit kerana membeli perkara yang tidak perlu.
  • Anak-anak kehabisan duit kerana ‘dipinjam’ oleh kawan.

Beli apa di sekolah?

Belajar Apa Di Sekolah Hari Ini?

Kanak-kanak mempunyai kekuatan memori yang tinggi, namun ianya hanya menjadi memori sementara jika tidak berlaku interaksi yang boleh mengeluarkan semula apa yang diingati. Interaksi ini akan ‘memanggil’ semula memori yang dilalui pada hari tersebut.

Ibu bapa perlu bertanya kepada anak-anak, “belajar apa hari ini?“. Interaksi ini dilakukan dalam bentuk pertanyaan seterusnya dapat ‘memanaskan’ semula memori anak-anak terhadap apa yang dipelajari pada hari itu. Proses ini membantu memori pembelajaran anak menjadi lebih kekal dan tahan lama dalam ingatan.

Guru Bagi Kerja Rumah Atau Tidak?

Ramai di kalangan ibu bapa yang peka dan bertanya kepada anak, “guru bagi kerja rumah atau tidak?“. Namun ramai juga ibu bapa yang hanya bertanya tanpa berusaha membantu anak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.

Ibu bapa bukan sahaja perlu bertanya, tetapi juga perlu memeriksa beg sekolah anak dengan menyemak setiap buku tulis dan kertas latihan yang diberikan oleh guru. Hal ini akan membantu ibu bapa untuk menilai sejauh mana kemampuan anak dalam menerima pembelajaran di sekolah.

Kelemahan pada ejaan, tulisan, mewarna, kiraan dan sebagainya di dalam latihan sekolah yang dibuat memerlukan tunjuk ajar dan panduan daripada ibu bapa agar anak-anak diberi cara menjawab setiap latihan dengan betul.

Terdapat juga ibu bapa yang terlepas pandang mengenai kerja rumah yang diberikan guru. Ini kerana ibu bapa kurang teliti dalam menyemak buku sekolah anak-anak. Ibu bapa juga perlu tahu anak-anak mungkin tidak ingat guru mereka ada memberikan tugasan kerja sekolah yang perlu dibuat di rumah. Apabila ditanya tentang kerja sekolah, anak-anak menjawab tidak ada. Jadi ibu bapa seharusnya memeriksa buku sekolah anak-anak.

Bagi ibu bapa yang hanya sekadar bertanya tentang kerja sekolah, tanpa membantu anak untuk menyelesaikan kerja sekolah, anak-anak mungkin akan bertindak balas sambil lewa juga dengan tidak memberi maklumat yang betul dan menipu kononnya tidak ada kerja sekolah. Sikap ibu bapa yang prihatin menjadi cerminan kepada anak-anak itu sendiri.

Makan apa di sekolah hari ini?

Ada Apa Dalam Beg Sekolah?

Anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan akan berhadapan dengan proses untuk membiasakan diri dengan suasana baru pembelajaran. Kebiasaannya anak-anak akan melalui kehilangan seperti alat tulis, botol minuman dan duit.

Ibu bapa boleh bertanya kepada anak, “ada apa dalam beg sekolah?” dan ibu bapa perlu memeriksa beg sekolah anak. Memeriksa beg sekolah bukan hanya untuk melihat kerja sekolah tetapi untuk melihat adakah terdapat sebarang surat yang diberikan oleh pihak sekolah seperti surat makluman rasmi, jadual kelas dan apa saja info yang dikhuatiri tercicir.

Di peringkat awal anak-anak yang baru memasuki persekolahan, ibu bapa perlu kerap memeriksa beg sekolah di samping itu membantu anak dengan menunjukkan cara mengemaskan buku-buku dan peralatan tulis di dalam beg sekolah. Ibu juga perlu membantu anak-anak untuk menyusun jadual stiap mata pelajaran anak-anak.

Ibu bapa perlu tahu kelengkapan tulis anak-anak. Ini bagi memastikan alat tulis mencukupi bagi persediaan anak untuk ke sekolah. Jika terdapat alat tulis yang hilang, ibu bapa perlu menyediakan alat tulis ganti yang lain. Mungkin terdapat alat tulis berlainan samada bertukar atau berlebihan dengan alat tulis kawan anak-anak, maka ibu bapa perlu mengajar anak untuk menukar semula dengan kawan-kawan dan mengajar anak untuk menghargai kelengkapan sekolah sendiri.

Kebanyakan beg sekolah anak-anak mempunyai persamaan dengan kawan-kawan yang lain. Maka tidak pelik jika ibu bapa menjumpai botol minuman atau bekas makanan bukan kepunyaan anak-anak dalam beg sekolah. Ibu bapa perlu ajar anak-anak untuk pulangkan semula barangan kepunyaan orang lain.

Ada apa dalam beg sekolah?

Jemput Anak Di Sekolah Dengan Lebih Awal

Ibu bapa yang sibuk perlu berusaha untuk menjemput anak di sekolah dengan lebih awal. Jangan biarkan anak menunggu lama di sekolah kerana ia boleh mengurangkan semangat anak bahkan juga berisiko terhadap kejadian yang tidak diingini seperti penculikan.

Seeloknya sambut anak dengan senyuman dan pelukan. Ini boleh mengekalkan semangat anak-anak untuk ke sekolah pada keesokan harinya. Anak-anak akan merasa dihargai dan pembelajaran mereka akan menjadi lebih mudah kerana persekitaran yang dibina oleh ibu bapa dapat diterjemahkan ke dalam bentuk kasih sayang.

Semoga anak-anak terus bersemangat menimba ilmu di sekolah. Ibu bapa  perlu tunjukan contoh yang baik kepada anak-anak. Usah tunggu anak-anak sudah menjadi dewasa baru ingin tunjuk perubahan dan contoh yang baik. Anak-anak bersekolah dan ibu bapa juga turut ‘bersekolah’. Sudah tentu ibu bapa juga ‘bersekolah’ dalam proses untuk menjadi contoh yang baik kepada anak-anak.

keluarga, kehidupan, sekolah, anak, inspirasihuda,

Advertisements

3 thoughts on “Ibu Bapa Prihatin Perlu Lakukan lima Perkara Ini Setiap Kali Anak Pulang Dari Sekolah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s